Isnin, 29 Ogos 2011

0 Pemergian Bulan Ramadan

Ramadan
pemergianmu selama sebelas purnama cukup syahdu
cakerawala menampakkan anak bulan Syawal
di balik tangisan langit mendung
membasahkan bumi yang gersang
semuanya jadi lipatan sejarah
seribu kenangan dalam sebulan
seribu sujud penuh ketaatan
seribu bulan pahala idaman.

Semasa kedatanganmu
kau berikan kekuatan di balik kelaparan
kau hapuskan kelemahan dengan kehausan
al-Quran yang berhabuk itu disentuh jua
kalam Allah riang meniti di bibir
sejadah yang lusuh itu dihampar jua
dahi seraya rebah tekun bersujud
masjid yang sepi itu dikunjung jua
para jemaah pantas rapatkan saf.

Sekarang kau sudah pergi
anak bulan Syawal menghambatmu lari
disyariatkan padaku meraikan kemenangan
sudah layakkah aku menyambut kemenangan?
benarkah hawa nafsuku sudah ditewaskan?
adakah habuk akan kembali menyelimuti al-Quran?
adakah sejadah akan kembali lusuh tersimpan?
adakah masjid akan kembali dikunjung kesepian?

Isnin, 22 Ogos 2011

0 12 Jam di Kuala Lumpur

Tika purnama belum melabuh tirai
kaki ini bertapak di bumi asing
atmosfera pagi di situ aneh
tiada berembun rumput
tiada berkicau unggas
tiada berkokok ayam
namun rakyatnya terjaga sudah
sekelompok tercegat kaku
berbumbungkan binaan mega
berlantaikan jubin jingga.

Tiga saf berjaya diisi
tatkala dahi ini mencium lantai
doa si imam diaminkan bersama
lalu masing-masing membawa diri.

Kenderaan itu berlari pantas
kutiba di kala mentari mula berdiri
bahangnya mula menampar pipi
cahayanya mula membelah bayang
mataku hinggap pada suatu bangunan
pejabatnya terbuka sudah
tangan mendarat di tombol pintu
kaki pula lekas mara
si kerani ceria di balik meja.

Dua menara itu riak berdiri
mengkerdilkan sekelian jirannya
pancutan air menyambut tamu
bersama taman pohon menghijau
di baliknya tersembunyi masjid mini
di mana dahiku mencium lantai lagi.

Binaan mega itu riuh kini
manusia berlari berpusu-pusu
kepulan asap mengusik hidung
di kala tingkat bawah dikunjung
batuk kecil bergema di mana-mana
selamat tinggal kota misteri
akan kujejak ke sini lagi.

Ahad, 21 Ogos 2011

0 Khabar Nan Duka

Tanggal 20 Ramadan 1432
khabar nan duka hinggap di telinga
tubuh kurus itu kaku tak bermaya
selamanya mata tertutup rapat
dibaringkan di atas katil tua
tersorok di balik kain putih
syahdu dipayungi laungan Tahlil
mengusik ketenteraman sawah saujana.

Tamatlah jua riwayat hidupnya
berhijrah ke alam baqa
usia muda tiada menghalang
bukti di depan mata terbentang
zuriatnya masih di bangku sekolah
meniti keriangan zaman kanak-kanak
tanpa kasih belai seorang ibu.

Ingatlah wahai yang masih benyawa
undangan Tuhan tibanya rahsia
bersedia atau tidak tiada lengahnya
amal ibadat penuhkan dada
hidup dan mati tiada sengsara.

Jumaat, 19 Ogos 2011

0 Suasana di Sebuah Wad

Berminggu-minggu berlalu sudah
di balik kamar putih
tubuh kurus itu terbaring lesu
pelbagai tiub masuk dan keluar
pelbagai mesin terjuntai wayar
pelbagai doktor katanya sukar
kanser sudah rakus memamah hati
tiada penawar bisa mengubat.
hanya keajaiban bisa menyelamat.

Pakaiannya disalin jururawat
sesekali najis dicuci
selimut ditarik ke paras pinggang
tuala kecil hinggap di dahi
tiada dihadam susu diberi
tiada ditelan kisaran kanji
tiada disahut sapaan suami
sesekali mengerang
sesekali tenang.

Di bilik itu Yasin bergema
entah berapa kali diulang baca
yang mendengar pasti hiba
air mata kesedihan menitis mudah
tubuh lesu itu diratapi
wajahnya berkerut menahan sakit
seorang diri bertarung nyawa
yang lain pula menahan duka.

KepadaMu jua dipohon doa
andai ujian ini berat maka ringankan
andai dosanya masih tersisa maka ampunkan
andai usianya masih panjang maka sembuhkan
andai seruanMu sudah tiba maka mudahkan.

Rabu, 17 Ogos 2011

0 Peristiwa di Sebuah Gua

Empat dekad hidupnya sudah
di celahan gua sempit
suara kecil itu bergema
terkenang punahnya masyarakat
penindasan bagaikan lumrah
kezaliman bediri megah
pepatung berhala disembah
hatinya enggan dinodai
gua sempit itu dihuni
menyendiri ditemani sepi
sesekali si isteri bertandang
disediakan susu dan tamar
mengisi perut yang kelaparan.

Cahaya putih menerpa
sekujur tubuh berdiri sasa
dihampiri, didekati dan dirapati
seraya dipeluk sekuat hati
tulang rusuk bagai nak patah
maka turunlah jua wahyu Ilahi
lima potong ayat suci
buat kekasihNya yang ummi.

Pantas berlari ke rumah
tubuh itu seraya diselimut
ditenteramkan takutnya
pendeta Nasrani mengesahkan
bahunya berat menggalas amanat
menjadi Rasul sekelian umat.

Lima ayat itu bagai azimat
turun di gua keramat
kalimah tauhid segera tersebar
masyarakat jahiliyah mula tersedar
pepatung berhala dipecah dibakar.

Selasa, 16 Ogos 2011

0 Laman Itu

Dahulu laman itu kelihatan usang
pohon kenanga lemah tunduknya layu
pohon cempaka rebah ditiup bayu
lalang-lalang itu subur tinggi
bagai ingin mencakar langit
tiada lagi kicauan merpati
tiada lagi putihan melati
tiada lagi kilauan mentari
sebahagiannya mati
sebahagiannya membawa diri.

Semalam kujejakkan kaki ke sana
cangkul itu rakus membelah bumi
lalang-lalang itu patah tangkainya
pohon kenanga bingkas tegak berdiri
pohon cempaka pantas bunga menjadi
pohon melati lekas harum mewangi
tanganku bertambah hijau
cantiknya laman memukau
di bawah mentari bersilau.

Kini akan kujaganya sepenuh hati
bagai menjaga anak sendiri
tidak kuharapkan kehadiran unggas
berkicau mewarnai suasana
tidak kuimpikan kelibat mawas
bertandang bersua muka
aku hanya idamkan
kuntuman kenanga hinggap di bahuku
haruman cempaka menusuk hidungku
jambangan melati mendarat di ribaku
hingga ke akhir hayatku.

Isnin, 15 Ogos 2011

0 Malam Itu

Malam itu
suatu masalah tersingkap jua
kepincangan di sebalik tawa
kekhilafan di sebalik suka
kesedihan si sebalik ria
ramai insan gagal ketemuinya
walaupun jelas terang dan nyata.

Malam itu
kusaksikan suatu krisis dalaman
tatkala buta mataku disembuhkan
sama sekali tidak kusangka
jemuran bisa kering di musim tengkujuh
dedaun bisa menghijau di musim luruh
tiada kilat di sebalik dentuman guruh
tiada rebung di sebalik unggunan buluh.

Malam itu
benar-benar mematangkan pemikiranku
masalah bisa muncul di lembah kedamaian
krisis bisa timbul di dataran keamanan
mataku bagaikan mendapat kuasa baru
angkara pengalaman yang menakjubkan
pada malam itu.

Ahad, 14 Ogos 2011

0 Akhirnya

Akhirnya
terpahat jualah namaku
di dada warkah merah jambu
maka tercalit jualah sejarah syahdu
di balik lembaran diari itu
kini dia menjadi milik mutlakku
kini dia wajib mewarnai hatiku
kini dia mesti menurut arahanku.

Akhirnya
tiada lagi pencekik darah jalanan
bisa merasuk menggugat iman
tiada lagi kepahitan penantian
tatkala kaki ini langkah ke depan
tiada lagi hidup penuh kesukaran
tatkala ku alpa dalam perjalanan
pasti kubisa pulang ke pangkuan.

Akhirnya
kunci kebebasan kugenggam kini
rintangan sekatan pasti tiada lagi
sedia kuturuti segala keinginan hati
akanku redah jua ke lembah keperitan
akanku belah jua ke lorong kesepian
akanku gagah jua ke jambatan kemegahan
takkan kutitis lagi air mata kesunyian
pabila dia bisa menerangi jalan.

Sabtu, 13 Ogos 2011

0 Hari Itu

Hari itu
roda ini membelah lebuhraya
berputar beratus batu
tanpa mengenal erti lesu
dari desa ke desa
dari pekan ke pekan
dari bandar ke bandar
akhirnya tiba di tempat tuju
sebuah teratak tua di sebuah kota.

Hari itu
teratak ini bakal menjadi saksi
betapa eratnya tautan hati
saudara mara berkumpul bersatu
di bawah satu bumbung
tiada jarak fizikal bisa meleraikan
keakraban yang terbina bertahun-tahun
peha kiri dan kanan pasti sakit bersama.

Hari itu
gegendang ini dipukul bertalu-talu
terkejut menelan khabar nan duka
empat sekeluarga terlantar hiba
dibuai empuk katil rumah sakit
wad tingkat sepuluh mencoretkan segalanya
sekujur tubuh itu panas
sesekali terdengar batuk kecil
memecah keheningan suasana
makanan itu sukar dijamahnya
air itu sukar ditelannya
di hadapan pelawat yang berpuasa.

Hari itu
kusaksikan sendiri bukti kekuasaanNya
empat sekeluarga sama penyakitnya
empat sekeluarga sama wadnya
empat sekeluarga sama rawatannya
angka empat menafikan ianya kebetulan
angka empat meyakinkan ianya ketetapan
pasti wujud seribu hikmah nan rahsia
di sebalik pilunya berita nan nyata.

Rabu, 10 Ogos 2011

0 Realiti Ramadan di Malaysia

Ramadan di Malaysia
siangnya berpusu-pusu manusia muncul
banjirkan setiap penjuru pasaraya
dibeli perabot, langsir dan persalinan
diborong gelas, mangkuk dan pinggan
disapu kuih-muih dan bekas makanan
hanya persiapan Syawal dalam fikiran
bakal diraikan selama sebulan
inilah realiti Ramadan di Malaysia.

Ramadan di Malaysia
petangnya berduyun-duyun manusia tiba
merapatkan saf di bazaar tahunan
di situlah nafsu megah bermaharajalela
di situlah pembaziran bebas berleluasa
di situlah manusia inginkan tangan ketiga
tatkala mentari rebah di ufuk Barat
meja makan pasti padat
kerongkong pasti tersekat
perut pasti tersumbat
solat Maghrib pasti terlewat
inilah realiti Ramadan di Malaysia.

Ramadan di Malaysia
malamnya pemetik api itu dihidupkan
kanak-kanak lari bertempiaran
gamatnya malam bagai di medan perang
dentuman bertalu-talu menghambat sunyi
letupan ganas menghalau sepi
ngauman meriam muncul sesekali
kekhusyukkan Tarawih teruji hebat
malam Ramadan hilang berkat
Lailatul Qadr dikejar tak dapat
inilah realiti Ramadan di Malaysia.

Khamis, 4 Ogos 2011

0 Sepucuk Surat Itu

Sepucuk surat itu
melayang tanpa diundang
hinggap di peti usang
sampulnya yang putih ternoda
pabila bergesel dengan karat-karat perang.

Sepucuk surat itu
bingkas dipungut belia nan tampan
sampulnya ternoda lagi
dek koyakan dari bucu ke bucu
maka terburailah segala isi kandung.

Sepucuk surat itu
melambung harganya
dek kebolehannya mengukir senyuman
pada bibir pembacanya
alangkah gembiranya si belia
serta seluruh ahli keluarganya.

Sepucuk surat itu
bakal merubah hala tuju belia
masa depannya semakin cerah
kehidupannya semakin indah
dia mengucap syukur lalu rebah.

Selasa, 2 Ogos 2011

0 Selamat Datang ke Facebook

Selamat datang ke Facebook
ciptaan teknologi abad ke-21
wadah bersosial secara maya
menghubungkan insan dengan rakan berjuta
berkomunikasi tanpa menatap muka
amat ajaib semuanya percuma.

Selamat datang ke Facebook
di mana lidah tidak lantang bersuara
tetapi jari jemari pula melontar kata
di mana telinga tidak lagi bergema
tetapi mata tekun mendengar bicara.

Selamat datang ke Facebook
lembah gosip dan dataran fitnah
di sinilah pekung di dada jadi tatapan
di sinilah emosi hati jadi pameran
di sinilah keaiban diri jadi tontonan
semakin kerap laman ini dikunjung
semakin galak dosa tinggi menggunung.

Selamat datang ke Facebook
pusat penyebaran dakwah paling berkesan
tatkala firman Allah engkau coretkan
ia akan dibaca berjuta insan
tatkala sabda Rasulullah engkau nukilkan
ia akan mengajak manusia beriman
tatkala kata-kata hikmah engkau catatkan
ia akan tersebar merentas sempadan.

Selamat datang ke Facebook
suatu alat umpama sebilah pisau
tajamnya mampu memudahkan kehidupan
tetapi tajamnya jua mampu menamatkan kehidupan.
 
back to top